Thursday, 3 November 2011

kisah.4.

gadis cuba kuat. dilaluinya hari-hari yang mendatang dengan penuh keazaman tanpa menoleh ke belakang. sejarah cintanya dilipat kemas dalam sudut hati paling dalam. namun, jejaka datang menguis lipatan itu perlahan-lahan.
'tak apalah, kawan sahaja. ada jodoh, adalah.'
gadis memujuk hatinya. gadis akui, rasa sayang itu masih ada. tapi dia sendiri was-was. berbagai-bagai kemungkinan boleh terjadi andai pilihan diambil sekarang. lebih baik memilih jalan tengah, selamat. kalau katakan ya, mungkin boleh terputus lagi di tengah jalan. kalau katakan tidak, mungkin menyesal seumur hidup. melepaskan pun tidak, menarik ke dalam dakapan pun tidak. itulah pilihan gadis.

**************************************************************

'awak tengah buat apa? saya ada masalah ni.'
gadis serba salah apabila mendapat mesej pesanan ringkas dari jejaka. gadis punya janji untuk makan malam di luar bersama keluarga. gadis tak mahu biarkan jejaka keseorangan menghadapi masalah. meskipun hanya sebagai kawan, gadis cuba untuk ada di sisi jejaka. tapi gadis juga tak mahu berkelakuan kurang sopan jika memungkiri janji. lalu gadis curi-curi menghantar mesej pesanan ringkas kepada jejaka ketika sedang makan malam bersama keluarga. gadis hampir dimarahi abah kerana berkelakuan begitu, tapi apakan daya untuk gadis pada masa itu. 
'tutttt...tutttt...tuttt...'
sampai sahaja di rumah, gadis cuba menghubungi jejaka, tetapi tidak berjawab. 
'tidurkah dia? atau marahkan aku kerana biar dia keseorangan?'
gadis cuba menghubungi jejaka sekali lagi. tetap tidak berjawab, dan yang tertera di skrin adalah 'call waiting'. si gadis menunggu dan terus menunggu untuk menghubung jejaka. hampir satu jam menunggu, jawapan yang sama, 'call waiting'.
'boleh la kalau nak call sekarang.'
mesej pesanan ringkas dari jejaka. gadis sudah merasakan moodnya kurang baik, tapi digagahkan juga untuk menghubungi jejaka.
'maaf, tadi masa bersedih, kawan baik yang perempuan call. borak-borak. masa awak call, saya tak sampai hati nak end call dengan dia sebab dia tengah buat luahan perasaan. dia tu macam tahu-tahu saya tengah sedih. dah banyak kali macam tu. tepat je masa dia call saya.'
ada air hangat meluncur di pipi gadis. hatinya bagai ditoreh-toreh. berdenyut-denyut rasanya. sehinggalah selesai luahan hati dari jejaka mengenai masalahnya, gadis berjaya menyembunyikan perasaannya. ingin diluahkan rasa hati, tapi apa perlunya. hanya kawan kan? sekali lagi bermacam-macam persoalan menerjah ruang mindanya.
'kalau mahukan aku kembali, mengapa gembira sahaja menerima call dari dia?'
'selalu macam aku yang terhegeh-hegeh pada dia. untuk kembali bersama.'

persoalan demi persoalan menerpa. terbiar tanpa jawapan, dan sekali lagi bintang di langit menjadi saksi. tapi, yang di sana tidak lagi mengira bintang di langit malam itu. tidur tanpa rasa apa.


Tuesday, 1 November 2011

kisah.3.

'cantik cincin tu.'
perlahan gadis berkata bila dia bertemu kembali dengan jejaka ketika majlis konvokesyen.
'oh, itu junior yang bagi.'
gadis mengangguk perlahan. senyum.

*************************************************************************
[gambar di mukabuku; sepasang tangan yang tiap-tiap jari manis tersarung cincin silver.]
jelita 1: cantik cincin. ehem-ehem.
jelita 2: kan si manis yang bagi.
jelita 1: tahu tu. tapi yang satu lagi.
jelita 2: hehehe.

'oh. satu junior bagi. satu lagi? hm. junior la sangat kan. sampai hati kau. cincin yang aku bagi, tak tersarung pun di jari manis kau. macam tu kau nak suruh aku kembali pada kau? bukan aku yang ego. bukan aku. kadang-kadang terlalu banyak rasa curiga aku pada kau. hm.'
keluh gadis perlahan. hatinya bagai disiat-siat bila melihat gambar itu. meskipun jejaka tidak meninggalkan sebaran komen, tapi pedih berdenyut-denyut rasa hati gadis. 

'betul telahanku. semasa kita berkasih-sayang, si dia muncul antara kita. kata kau, si dia kawan sahaja. ya, kawan sahaja. sampai aku temui sesuatu. kita berpisah. lalu kau bersama si dia, kan jejaka. tahniah kepada si dia, yang memang ingin menggantikan tempatku di hati kau. impian si dia jadi kenyataan.'

bisik gadis, antara kedengaran dan tidak.

'dari dulu lagi, aku kalah pada si dia, kan jejaka. hanya sebagai kawan dan teman, si dia mampu menarik kau pergi kepadanya. ternyata aku kalah. sudah terang lagi bersuluh. setiap kali berantakan, aku tinggalkan kau, jejaka, tapi si dia setia menantimu. itulah aku katakan, kalah aku kepadanya.'
perlahan-lahan gadis menyeka air matanya.

'tapi mengapa kau mahukan aku kembali pada kau? sedangkan cincin tanda tidak tersarung pada jari manismu wahai jejaka. aku masih dihantui persoalan-persoalan yang semakin bersarang di minda.'

akhirnya gadis terlena berbantalkan lengan sambil air jernih mengalir di pipinya. bukan mimpi indah menemani, tapi bayangan silam yang ngeri menerjah ketika gadis mati sekejap.


puisi pelangi lapan warna.

jantung bergetar laju.
hati rasa berdenyut-denyut.
nafas tak tentu arah.
sakit.
hm.
memandang dari jauh.
dia yang terukir senyuman.
terima kasih untuk rasa sakit ini.
kau pelangi lapan warna.
dongeng kan.
mana ada lapan warna.
tapi,
percayalah.
kau warna yang ke lapan itu.

Monday, 31 October 2011

pelangi lapan warna.

kisah ini ditulis bersama

PART 3

‘Abang, sayang rindukan abang. Sangat-sangat.’
Secara tak sengaja Laila terbaca mesej pesanan ringkas yang singgah ke telefon bimbit yang bukan miliknya. Niat di hati hanya ingin membelek-belek gambar yang tersimpan di galeri, gambar kenangan manis. Berderau darahnya. Tak pernah Laila menggelar jejaka kesayangannya dengan panggilan abang, cukup sekadar ber’saya’ dan ber’awak’.

‘Sayang? Abang? Ya Allah, dugaan apakah ini?’
Lalu Laila meletakkan kembali telefon bimbit yang bukan kepunyaannya di atas meja. Air mata diseka, selendangnya dibetulkan. Cuba berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Laila nak balik. Tak sedap badan lah. Mungkin penat sangat.”
Insan yang baru duduk di hadapannya hanya mengangguk perlahan sambil memesan supaya Laila rehat secukupnya.

‘Cukuplah aku sebagai perempuan diperkotak-katikkan. Cukuplah sampai di sini sahaja kebodohanku. Kenapa kau bodoh Laila? Kenapa kau buta Laila? Betul kata bonda. Jangan percaya pada lelaki. Oh, bonda, Laila rindukan bonda.’

Langkah kakinya dihayun pantas. Timbul rasa di hati ingin lari laju-laju dari tingkat 8 bangunan sebelah lalu terjun ke bawah yang siap sedia dinanti oleh tilam spring. Kerana saat dirinya di udara adalah ruang di mana Laila akan tinggalkan segala kesedihannya di atas, dan bila mendarat di bumi, segala hubungan kasih sayang dengan insan tersebut tidak pernah berlaku sama sekali. Tapi Laila sedar. Itu hanya angan-angan.

Laila harus kuat menempuh kehidupan yang penuh warna. Sama ada merah dengan rasa ghairah, jingga dengan rasa riang, kuning dengan rasa setia, hijau dengan rasa iman, biru dengan rasa tenang, indigo dengan rasa bergaya, ungu dengan rasa semangat, putih dengan rasa suci atau hitam dengan rasa berbalam-balam. 

**************************************************************************
‘Laila, mengapa jadi begini? Tiada lagikah ruang di hatimu untukku?’
Dia menyendiri, mengira bintang-bintang selatan. Harapannya Laila juga sedang mengira bintang-bintang utara.

‘Kau tu yang bodoh, tolol wahai lelaki. Laila begitu baik, sempurna di mata manusia lain, mengapa kau hancurkan hati suci dia? Kerana nafsu kau? Kerana kau nak test market konon?’
Suara ghaib sedang mentertawakan dirinya. Akibat kebodohannya, mahu tunjuk lagak yang dia itu jejaka terhangat di pasaran, dia itu sekali petik sepuluh yang mari. Nah, kini rasakan! Bagaimana Laila pecah dadanya, dirobek hatinya kerana dipermainkan, kini dia harus menerima balasan.

‘Kau kan kacak, berduit. Cuba kau pikat perempuan lain, mesti dapat. Takkan kau nak serious terus dengan Laila tu. Kita muda lagi lah kawan. Dah rasa nak kahwin nanti, pilihlah yang terbaik. Kau pasti takkan menyesal bila dapat yang terbaik antara yang terbaik. Hahahaha!!!’

Itulah antara ayat-ayat yang menjadi perangsang dirinya betindak kejam pada hati Laila. Laila terus ditipu dari hari ke hari. Laila terus tersenyum bersama harapan palsu yang dia ciptakan.

‘Laila, aku berdosa pada kau. Sungguh, memang aku berniat untuk acah-acah sahaja dengan yang seorang lagi. Tapi kau tetap di hati aku, Laila. Kau satu dalam sejuta. Kau yang terbaik untukku.’
Dia megeluh lagi. Memang salahnya, punca darinya yang menyebabkan segala kucar-kacir begini.

*************************************************************************
Laila tenang dan selesa bila berada dalam dakapan bonda. Bonda lah segala-galanya buat Laila kini. Setelah ujian yang tidak terduga melanda dirinya, Laila mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman. Menjauhkan diri dari masalah bukan tindakan yang bagus, tapi Laila perlukan sedikit ruang supaya tidak membuat keputusan dalam keadaan terburu-buru. Kata satu pepatah ini ‘sesuatu yang dimulai dengan rasa marah, akan berakhir dengan rasa malu.’
Sekali lagi, petang itu Laila menapak perlahan-lahan ke pondok di tepi sawah itu. Berbekalkan diari ungu kesayangannya, Laila membelek satu per satu muka surat.

‘Melarikan diri dari kesibukan tugasan, aku dan dia ke Muzium Negeri. Janggal bukan? Ah! Biarlah. Kami masih mahasiswa, tiada duit yang menggunung tinggi, aku pun tak mahu menumpang kesenangan dia, RM2 tak terlalu banyak jika digunakan untuk sehari suntuk melawat perkara bersejarah. Uniknya, percintaan luar biasa. Mana ada pasangan lain yang buat macam aku dan dia. Keh keh keh. Boleh disimpan memori ini untuk anak cucu nanti. Oh, ke hadapan benar aku berangan. Entah ya, entah tidak aku menjadi surinya. Tapi tak salah kan kalau aku berharap?’

Air mata menitis di pipi. Saat manis itu menjelma di minda Laila.

‘Mengapa jadi begini? Kesetiaan yang aku berikan, kesedihan yang dia balas. Hmmmm.’

‘Petang itu, aku dan dia ke pantai. Mendengar irama dan lagu dari ombak dan pantai. Umpama aku dan dia, tak dapat dipisahkan lagi. Duduk di atas pasir sambil mencoretkan nama kami berdua, lalu dibentuk corak hati mengelilingi nama kami. Oh, bahagianya. Sambil memerhatikan matahari terbenam, indah sungguh panorama itu.’

Laila tak mampu lagi meneruskan pembacaannya. Matanya kian kabur, takungan air mata kian memberat. Tunggu saat mahu gugur ke pipi gebu Laila. Akhirnya Laila bangun dari pangkin, menyarungkan selipar lalu menapak perlahan-lahan ke teratak mawaddah, tempat berteduh Laila dan bonda. Tak lama lagi azan Maghrib bakal berkumandang, pasti bonda sedang menanti Laila untuk solat berjemaah. Tak ada yang lebih baik darinya jika dapat berimamkan bonda ketika bersolat. Dulu Laila pernah memasang impian;

‘Selain abah dan bonda yang mengimamkan Laila bersolat, Laila mahu awak yang imamkan solat Laila nanti, ya?’

Kini, impian hanya tinggal impian. Laila harus tabah. Kata orang kalau jodoh, dugaan macam mana sekalipun, pasti kalian akan bersama.  

Dari kejauhan, bonda sedar ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis suntinya itu. Dari tindak-tanduk Laila, kerutan di wajahnya, senyum yang tiada seri, bonda tahu Laila sedang berdepan dengan cabaran kehidupan.

‘Sabarlah sayang, bonda tahu, Laila kesayangan bonda ini kuat hatinya, tegar keyakinannya. Meskipun dilambung badai, pasti Laila mampu mengharunginya.’

p/s: klik sini untuk part 1
      klik sini untuk part 2
      klik sini untuk part 4

gua bengang ni beb!

petang ni banyak persoalan di minda.
tolong jawab boleh?
1. kenapa gua STRESS sangat?
2. kenapa lu tu selalu bikin gua panas hati, bagi gua jeles.
3. gua ni pun satu, kenapa gua jeles sangat! gua bengang la!
4. lu nak kawan boleh, tapi jangan bagi gua nampak lu boleh x?
5. lu nak ganti tempat gua ke, nak rampas dari gua ke, make sure gua salah dan lu betul, ok?

Sunday, 30 October 2011

kisah.2.

hidungnya dicuit manja, lalu gadis mendongakkan muka. memandang wajah jejaka dengan penuh rasa kasih, tapi sedikit hairan apabila jejaka tak henti-henti ketawa.
'apa yang kelakarnya?'
jejaka menghulurkan tisu, lalu fahamlah gadis, tadi itu bukanlah cuitan manja tapi cuitan mengenakannya. hidungnya sudah comot dengan sos cili dek kerana kenakalan jejaka.
hari ini hari lahir gadis. jejaka membawa gadis keluar makan. makan biasa-biasa sahaja, ya lah, mereka kan masih belajar. majlis kecil tapi cukup bermakna buat gadis dan jejaka. cuma dengan sepotong blueberry cheesecake berharga RM 4.80 dan hidangan 2 ketul ayam untuk meraikan ulangtahun gadis, kesayangan jejaka.
*************************************************************************
'ah! bila tak berantakan, semuanya indah. huh!'
gadis mengusir pergi bayangan ketika usianya mencecah 21 tahun. sungguh dia benci setiap kali memori-memori indah itu menerjah mindanya. sakit!
'baru kini kau nak rasa sakit ya, gadis? itulah yang jejaka alami. nah! rasakan bagaimana pahitnya jejaka menempuhi kehidupannya!'
suara halus mengejeknya. tiada linangan air mata di pipi, sebaliknya mata gadis seolah berapi, umpama menyimpan dendam kesumat.
'pergi! pergi kau suara tak guna! jejaka, kau memang memusnahkan hidup aku!'
gadis sudah seperti dirasuk. habis barang-barang di mejanya berselerak akibat amukannya. 
'akui sahaja kau masih sayangkan dia, kau masih cintakan dia. jangan terlalu ego. semua manusia buat silap. kau atau dia, sama-sama silap.'
suara itu seolah-olah memujuk dan juga menghentam gadis.
gadis menjadi lone ranger. ke mana sahaja berseorangan. tidak peduli pandangan manusia di sekeliling lagi. dia penat hidup menjadi taat pada perintah manusia, kerana terlalu taat dan patuh, inilah akibat yang perlu gadis tanggung. gadis cuma mahu menjadi hamba yang taat pada suruhan Tuhan. bukan lagi mendengar kata-kata manusia yang tak pernah memahami isi hatinya.
'isi hati? hmmm.. hanya jejaka yang tahu apa mahuku, bila rajukku, sedih sakitku.'
keluh gadis bersendirian. mahu menghubungi jejaka, tiadalah kekuatan yang ada pada gadis. baginya, cukuplah dia melukakan, merobek tangkai hati, menghancurkan cinta jejaka dahulu.

*******************************************************************************

gadis mendapat tahu yang jejaka sudah in a relationship. bergetar hebat hatinya di kala itu. hanya kepada Tuhan, gadis merintih.
'memang patut pun, memang layak dia mendapat yang lebih baik dari aku. kerana jejaka memang yang terpaling hebat, aku bukan sesiapa untuk dia.'
begitulah rintihan gadis, menghamburkan segala kesedihannya sambil memujuk hati yang lara.
'jejaka, kau pernah katakan untuk menunggu aku. tapi mana janjimu?'
'oh, aku tidak layak buatmu, jadi memang tak patut kau menunggu aku, bukan?'
dari sehari ke sehari, gadis semakin murung. semakin tertekan menerima ujian. inilah yang dikatakan karma, apa yang gadis lakukan pada jejaka suatu masa dahulu kini berbalik pada dirinya. tenggelamlah gadis bersama linangan air mata dan jeritan batinnya. tubuhnya susut, pipi cengkung tak dipedulikan gadis. hidupnya bagai tiada arah tujuan. gadis cuma bertunjangkan keluarga dan imannya yang senipis kulit bawang untuk meredah hari-hari mendatang.

*********************************************************************************

'gadis, aku terlalu takut untuk menghubungimu. telah kau katakan, kau benci padaku. bonda juga berkata kau perlukan ruang untuk bersendirian.'
jejaka cuba menahan perasaan ketika terfikirkan gadis. sungguh, dia amat menyayangi gadis. semua yang berlaku, salahnya juga. tidak sabar. suka menguji gadis. tapi, apakan daya, cuma sedikit perhatian yang dia mahukan saat itu.
'bip! bip!'
satu pesanan ringkas menerpa ke peti mesej di telefon bimbit jejaka.
'abang, sayang rindukan abang'
bait-bait kata dari si dia, bukan dari gadis seperti yang jejaka harapkan. telefon bimbitnya dicampak lemah ke atas katil setelah pesanan ringkas itu dibalas;
'ya, abang pun begitu'

dan malam itu, sekali lagi jejaka berdiri di balkoni sambil mengira bintang di langit. tanpa disedari gadis juga melakukan perkara yang sama si sebelah sana. langit, bintang dan bulan yang sama menyaksikan butiran air mata mengalir di pipi jejaka dan gadis. sampai bila harus langit gelap, bintang yang kurang kerlipannya dan bulan yang suram cahayanya harus menjadi saksi bisu antara jejaka dan gadis. mungkin sampai bila-bila, bila orang kata 
'bukan jodoh jejaka dan gadis'
kata-kata itu satu doa, bukan?
 
lalu, desiran angin menghembus, menampar pipi sang pencinta yang tidak pasti dengan kasih sayang mereka.

p/s: klik sini untuk kisah.1.

Saturday, 29 October 2011

kisah.1.

dulu, jejaka dan gadis itu pernah berkasih sayang. tapi itu dulu, ya, dulu. tinggal kenangan. kenangan-kenangan tercipta umpama daun-daun kering yang sengaja digugurkan oleh gadis. tak satu pun yang tinggal. lalu, jejaka mengutip satu per satu dedaunan kering itu, dikumpul, lalu diisi dalam kotak hati. sambil menitis air mata jejaka di pipi.
'ah! gadis, kaulah gadis paling ego di dunia, paling tak sedar diuntung'

gadis tetap tak menoleh ke belakang. mara ke hadapan dengan wajah bongkak. katanya memang dia bukan gadis yang perlu merayu, meulutut kerana terluka akibat cinta.
'gadis, semua orang buat silap. jangan lupa tu. satu hari nanti, kau akan sedar'

jejaka terlalu merana. hampir seluruh kehidupannya dirasakan kelam berbalam-balam. tiada lagi senyuman terukir di bibir. hanya air mata peneman di kala malam.
gadis tetap dengan egonya tinggi melangit. gadis akui, kadang-kadang ada terlintas ingatannya terhadap jejaka. dek egonya, ditepis jauh-jauh bayangan itu. baginya itu hanya menambah luka dan derita.

'gadis, gadis. kau sebenarnya menyeksa diri kau lebih teruk. akui sahaja yang kau masih sayangkannya.'

kerana tak mahu dikatakan menjilat kembali ludahnya sendiri, gadis diam menyepi, tak membuat sebarang tindakan untuk kembali berbaik. gadis mencipta senyuman di bibir. menipu! ya, menipu manusia di sekeliling. malah menipu dirinya sendiri. gadis tak sedar, penipuan itu memakan dirinya sendiri. gadis fikir, dia bahagia tanpa jejaka, dia gembira dengan kebangkitan semangatnya untuk hidup sendiri.
tapi, gadis silap!

'gadis, badan kau makin susut'
'gadis, kau diet kah?'
'wah! kurus sekarang'

kata-kata manusia di sekeliling, menyedarkan gadis. bahawa selama ini dia derita. gadis terduduk, silap percaturannya. kerana egonya. dia memang silap!

**********************************************************************************

langkah kaki jejaka berat. menapak perlahan-lahan ke dewan konvokesyen. dipandang sekeliling.
'gadis...aku tetap menanti kehadiran kau...'

seolah-olah ada yang menyeru namanya, gadis bangun lalu tersandar di dinding. berfikir sejenak. lalu dengan pantas bersiap dan menghala ke gerai-gerai jualan berdekatan.

'tahniah! selamat berkonvokesyen'
adakah jejaka bermimpi? menerima ucapan selamat dari suara yang memang dirinduinya? lantas berpaling, mujurlah masih waras akal fikiran. jika tidak, mahu sahaja dia memeluk empunya suara itu.

'untuk awak'
tak berkedip mata jejaka, namun huluran jambangan 6 kuntum mawar merah berserta patung semut berwarna ungu itu sedia disambutnya.

'awakkk...'
senyuman terukir di bibir gadis. mahu sahaja dia menyeka air jernih di tubir mata jejaka, namun dia sedar, mereka bukan seperti dulu.

'saya ingat awak tak datang'
gadis senyum lagi. sambil pandangan matanya dileretkan pada jejaka.

'saya perlu datang. untuk tunaikan janji saya pada awak. maaflah, sunflower sold out. jadi, saya gantikan dengan mawar merah dan semut ni, nampak unik, tak lah sama dengan pemberian dari orang lain.'

janji sudah gadis tunaikan. penantian jejaka juga berhasil.

setelah mengucapkan salam perpisahan,
gadis berlalu pergi. menapak perlahan-lahan, sambil terbayang memori yang dicipta kurang 30 saat yang lalu. kali ini, gadis betul-betul sedar yang dia menderita. lalu, gadis redha untuk menerima karma, atas mengecewakan jejaka. air mata mengalir. gadis tak mampu untuk berpaling. langkahnya makin deras. kepalanya ligat berfikir untuk meredah kehidupan mendatang.
'maafkan aku jejaka, aku sentiasa bersalah, sentiasa ego, sentiasa degil. aku tahu kau layak menerima yang lebih baik dari aku. selamat berbahagia jejaka'

dari kejauhan, jejaka merelakan pemergian gadis dari hidupnya buat kesekian kali.
'gadis, ah, kau masih seperti dulu, degil, keras hati, egois. gadis, andai kau sudi pulang ke pangkuanku. aku sentiasa memaafkanmu.'

lalu, matahari yang menyaksikan kisah itu meminggir dari langit. memberi ruang buat jejaka dan gadis mengira bintang di langit sambil air mata mengalir di pipi, masing-masing terasing di antara hijab yang mereka ciptakan sendiri.  

p/s: sila komen. pertama kali buat cerita panjang ni, walaupun macam pendek. sebab tak pernah tulis sepanjang ni. hehe